Ahad, 13 Disember 2020 | 2:36pm
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita 90 tan bawang merah dari Myanmar ketika mengadakan operasi di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth. NSTP/ Ihsan MAQIS Pulau Pinang
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita 90 tan bawang merah dari Myanmar ketika mengadakan operasi di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth. NSTP/ Ihsan MAQIS Pulau Pinang

9 kontena bawang merah dari Myanmar disita

Oleh Nur Izzati [email protected]

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mematahkan cubaan membawa masuk 90 tan bawang merah dari Myanmar dalam pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, jam 4.40 petang semalam.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata dalam pemeriksaan itu pasukan penguat kuasa MAQIS ternampak sembilan kontena yang baru masuk ke pelabuhan sebelum mendapati terdapat 9,000 guni bawang merah seberat 90,000 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM201,648.01.

Bagaimanapun katanya, semua bawang merah itu dibawa masuk ke negara ini tanpa Sijil Perakaun 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan).

"Berikutan itu, 9,000 guni bawang merah itu dirampas dan disita untuk tindakan lanjut.

"Mengimport keluaran pertanian tanpa mematuhi piawaian yang dikehendaki pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, MAQIS mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Berita Harian X