Jumaat, 4 Disember 2020 | 1:42pm

Peniaga keropok lekor mengaku salah halang tugas polis

KAJANG: Seorang peniaga keropok lekor mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menghalang tugas dan mencederakan anggota polis selain memasukkan dadah dalam badan.

Tertuduh, Samsuri Elias berusia 44 tahun membuat pengakuan bersalah itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, Samsuri didakwa dengan sengaja enggan memberi kerjasama kepada anggota polis, Raja Mohd Ali Omar Akasyah Raja Sulaiman menjalankan tugas di tempat letak kereta Taman Sri Leko, Kajang jam 11.30 malam pada 30 November lalu, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap anggota polis, Mohd Haslizan Hashim pada waktu dan lokasi sama, mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan terakhir pula, Samsuri didakwa memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang jam 3.30 pagi pada 7 Februari 2018, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Samsuri dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan hukuman yang ringan terhadapnya kerana perlu bertanggungjawab memberi nafkah kepada seorang isteri dan dua anak.

"Saya amat menyesali perbuatan itu dan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan.

"Ia memandangkan saya mempunyai seorang isteri dan dua anak yang perlu ditanggung dengan gaji minimum RM900 sebulan sebagai peniaga keropok lekor," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman dalam hujahnya pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran terhadap tertuduh yang bertindak menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Hukuman setimpal harus diberikan kepada tertuduh sebagai peringatan kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Muhammad Noor menjatuhkan hukuman penjara enam bulan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Bagi pertuduhan ketiga, Samsuri dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan serta pengawasan selama dua tahun.

Majistret memerintahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua dilaksanakan serentak, manakala pertuduhan ketiga mahkamah menetapkan hukuman dibuat berasingan.

Ketika prosiding itu, tiga ahli keluarga Samsuri yang berada di galeri awam dilihat menangis selepas majistret menjatuhkan hukuman berkenaan.

SAMSURI diiiringi polis ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menghalang tugas penjawat awam dan melanggar anggota polis peronda bermotosikal dalam kejadian 1 Disember lalu di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SAMSURI diiiringi polis ketika hadir ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menghalang tugas penjawat awam dan melanggar anggota polis peronda bermotosikal dalam kejadian 1 Disember lalu di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X