Khamis, 3 Disember 2020 | 2:45pm
Keadaan kenderaan yang terjunam daripada ketinggian enam meter di sebuah kondominium di Jelutong, di sini, yang menyebabkan wanita pejalan kaki berusia 71 tahun maut di tempat kejadian. NSTP/ IHSAN JBPM
Keadaan kenderaan yang terjunam daripada ketinggian enam meter di sebuah kondominium di Jelutong, di sini, yang menyebabkan wanita pejalan kaki berusia 71 tahun maut di tempat kejadian. NSTP/ IHSAN JBPM

Wanita maut dihempap kenderaan terjunam

GEORGETOWN: Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah kereta yang kemudian menyeretnya sebelum melanggar tembok parkir Kondominium Green Lane Park, di Jelutong dan terjunam dari ketinggian enam meter dan menghempap mangsa.

Mangsa, Kim Hui Ping, 49, dari Taman Desa Damai, Bukit Mertajam sedang berjalan di parkir kondominium itu apabila dia tiba-tiba dirempuh kereta Toyota Vios dipandu wanita berusia 71 tahun sebelum diseret dan melanggar tembok parkir dan jatuh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kemalangan itu berlaku pada jam 12 tengah hari.

Katanya, wanita pemandu kereta Toyota Vios itu secara tidak sengaja terlanggar Hui Ping yang melintas di hadapannya ketika melalui selekoh parkir terbabit.

"Pemandu itu tertekan pedal minyak sebelum melanggar Hui Ping lalu merempuh tembok penghadang parkir.

"Rempuhan kuat menyebabkan kenderaan itu terjunam dari ketinggian enam meter dan menghempap mangsa serta sebuah lagi kenderaan," katanya lagi.

Mengulas lanjut Soffian berkata, Hui Ping disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, " katanya.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yusri Zakaria, berkata ketika mereka sampai di lokasi kejadian, didapati kereta Toyota Vios itu dalam keadaan terbalik di bawah tempat parkir itu, terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter.

"Pemandunya masih tersepit di tempat duduk manakala seorang lagi wanita berada di bawah bahagian depan kereta.

"Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa di bawah kereta itu," katanya.

Yusri berkata mangsa yang cedera itu dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X