Isnin, 30 November 2020 | 11:20pm
Polis masih memburu seorang suspek yang mencederakan seorang lelaki selepas kemalangan di Bangsar
Polis masih memburu seorang suspek yang mencederakan seorang lelaki selepas kemalangan di Bangsar

Tiga lelaki cedera bergaduh selepas kemalangan

KUALA LUMPUR: Perselisihan faham selepas kemalangan jalan raya dikatakan menjadi punca tiga lelaki cedera dalam pergaduhan di Jalan Telawi 3, Bangsar, tengah malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Accord dinaiki suspek bersama dua lagi rakannya dipandu secara melawan arus dan melanggar bahagian belakang kereta Proton Satria, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata hasil siasatan mendapati suspek yang juga rakan pemandu kereta Honda Accord bertindak mengelar leher pemandu Satria menggunakan pisau sebelum melarikan diri.

Katanya, pemandu kereta Proton Satria pula bertindak memukul seorang lagi rakan pemandu kereta Honda Accord menggunakan sebatang besi dan memecahkan cermin kereta sebelum mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Polis tiba di tempat kejadian dan menemui seorang lagi mangsa iaitu pemandu kereta Honda Accord dalam keadaan cedera di kepala dan terbaring di atas jalan raya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

"Polis turut menemui pisau dipercayai digunakan dalam kejadian dan suspek masih belum ditahan," katanya dalam satu, kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Berita Harian X