Sabtu, 28 November 2020 | 2:04am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kelindan lori maut tercampak dari ketinggian 5 meter

NILAI: Seorang kelindan maut selepas tercampak dari ketinggian lima meter apabila lori dinaiki terbabit nahas di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata dalam kemalangan jam 4.15 petang itu, mangsa meninggal dunia selepas terjatuh di atas Jalan Nilai-Salak di bawah laluan berkenaan, manakala pemandu lori terbabit cedera parah.

Beliau berkata, insiden itu membabitkan lori tiga tan dinaiki pemandu lelaki berusia 38 tahun bersama seorang kelindan berumur 32 tahun, dengan sebuah van.

"Kemalangan berlaku ketika van jenis Toyota Hiace berada di lorong paling kanan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Melaka.

"Setiba di lokasi kejadian, van terbabit dipercayai hilang kawalan selepas merempuh lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Akibat perlanggaran itu, beliau berkata, lori berkenaan terbabas sebelum melanggar penghadang kiri jalan dan kelindan berkenaan tercampak keluar.

Beliau berkata, pemandu lori kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, untuk rawatan lanjut, manakala pemandu van itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X