Jumaat, 27 November 2020 | 9:14pm
Pemilik pusat hiburan membuat laporan polis berkaitan peras ugut. - Foto hiasan NSTP
Pemilik pusat hiburan membuat laporan polis berkaitan peras ugut. - Foto hiasan NSTP

Polis tahan 19 individu termasuk 'Datuk'

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang anggotanya dipukul sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap, dikenali sebagai Geng 18 Batu 14 Puchong, dalam pergaduhan di pusat hiburan di sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata polis menyerbu premis berkenaan 11.30 malam tadi dan menangkap 19 individu, termasuk seorang bergelar 'Datuk' dan anggota polis itu bagi membantu siasatan.

"Pengadu memaklumkan sekumpulan lelaki melakukan kekecohan dalam premis pusat hiburan itu dengan bergaduh dan memecahkan barang.

"Kejadian berpunca kerana penjaga premis itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam pusat hiburan itu. Pergaduhan ini membabitkan 15 lelaki dan empat pelanggan, termasuk anggota polis itu.

"Polis pergi ke tempat kejadian dan menangkap semua suspek yang terbabit termasuk seorang lelaki bergelar 'Datuk' dan difahamkan gelaran itu nama panggilan sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai Geng 18 Batu 14 Puchong, Nik Ros Azhan berkata, polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan itu dan akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), jika perlu.

"Polis turut menerima satu laporan daripada pemilik premis berkenaan berkaitan kes peras ugut oleh kumpulan ini yang meminta bayaran wang perlindungan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semua tahanan direman selama dua hari berakhir hari ini.

Katanya, anggota polis yang ditangkap sudah diberi jamin dan dibebaskan kerana beliau mangsa dalam kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Berita Harian X