Jumaat, 27 November 2020 | 5:43pm
MAQIS Pulau Pinang merampas 8,400 peket biji benih dari tiga negara ketika melakukan pemeriksaan di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. -Foto/Ihsan MAQIS
MAQIS Pulau Pinang merampas 8,400 peket biji benih dari tiga negara ketika melakukan pemeriksaan di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. -Foto/Ihsan MAQIS

Cubaan bawa masuk 8,400 peket biji benih, dipatahkan

GEORGETOWN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk 8,400 peket biji benih dari tiga negara ketika melakukan pemeriksaan di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam.

Dalam pemeriksaan jam 1.55 tengah hari itu, pegawai penguatkuasa MAQIS menemui enam bungkusan yang membawa pelbagai jenis bijih benih masing-masing dari India, China dan Belanda.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata siasatan ke atas kesemua bungkusan itu mendapati tiada permit import yang sah.

"Berikutan itu, kita merampas biji benih seberat 50,230.96 kilogram (kg) bernilai RM144,917.49 ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Perbuatan mengimport keluaran pertanian tidak mematuhi piawaian dikehendaki pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X