Khamis, 26 November 2020 | 9:14pm
Anggota PGA melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. - Foto NSTP/ Zuliaty Zulkiffli
Anggota PGA melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. - Foto NSTP/ Zuliaty Zulkiffli

Warga tempatan bersekongkol penyeludup sindiket negara

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak menolak kemungkinan ada warga tempatan bersekongkol dengan sindiket dari negara jiran dalam kegiatan penyeludupan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata khidmat penduduk tempatan digunakan kerana mereka mahir dalam selok-belok lorong tikus yang terdapat di sekitar sempadan.

Mengulas lanjut, katanya kebiasaannya penduduk tempatan akan membawa barangan untuk diseludup seperti ketum dan dadah, sebelum ditinggalkan di lokasi khusus berdekatan dengan tembok sempadan.

"Barang ditinggalkan itu akan dikutip kumpulan penyeludup dari negara jiran yang menyusup masuk secara haram sebelum ia dibawa menyeberangi sempadan," katanya ketika meninjau keadaan di laluan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya sudah mengarahkan setiap ketua pos kawalan supaya mengenal pasti lorong tikus yang wujud di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand supaya kawalan dan rondaan dapat dipertingkatkan.

"Berdasarkan maklumat, kita dapati penyeludup biasanya mengambil kesempatan waktu antara tengah malam hingga awal pagi untuk melakukan kegiatan mereka," katanya.

Kelmarin, negara dikejutkan insiden serangan membabitkan penyeludup ketum ke atas dua anggota PGA menyebabkan kematian Sarjan Baharuddin Ramli, manakala rakan setugasnya, Sarjan Norihan Tari, cedera parah.

Berita Harian X