Rabu, 25 November 2020 | 12:47pm
Tan Chee Meng (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Jenayah 1 Seremban atas tuduhan membunuh bapa. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Tan Chee Meng (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Jenayah 1 Seremban atas tuduhan membunuh bapa. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

Penganggur dituduh bunuh bapa

SEREMBAN: Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh bapanya 18 November lalu.

Tan Chee Meng, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Naziah Mohd Alias. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Chee Meng didakwa menyebabkan kematian Tan Yin Fah, 59, yang juga bapanya di Simpang Pertang, Jelebu pada 9.30 pagi, 18 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju T gelap tiba di mahkamah dengan kenderaan polis pada 9 pagi tanpa diwakili peguam serta ahli keluarga.

Naziah menetapkan 21 Januari 2021 untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Jelebu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus.

Media sebelum ini melaporkan seorang bapa maut selepas ditikam anaknya kerana berang ditegur terlalu leka dengan telefon bimbit.

Berita Harian X