Selasa, 24 November 2020 | 6:06pm
Anjing jenis ‘pit bull’ yang dicuri sebelum berjaya dijumpai semula oleh polis, malam tadi. - NSTP/ Foto ihsan PDRM
Anjing jenis ‘pit bull’ yang dicuri sebelum berjaya dijumpai semula oleh polis, malam tadi. - NSTP/ Foto ihsan PDRM

Lelaki disyaki curi anjing 'pit bull' untuk beli dadah

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki, malam tadi, kerana disyaki mencuri seekor anjing jenis 'pit bull' dianggarkan bernilai RM10,000 dari sebuah kandang di Kampung Paya, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah itu seorang diri, Sabtu lalu, dan mahu menjual anjing terbabit untuk membeli bekalan dadah.

Katanya, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 11 malam di sebuah kuarters perumahan dekat Jalan Berlian, melalui Op Cantas dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Katanya, ia berikutan maklumat diterima daripada pemilik kandang terbabit yang mendakwa haiwan peliharaannya itu hilang bersama empat rim motosikal.

Hasil serbuan itu, beliau berkata, polis turut berjaya menemui semula anjing terbabit bersama dua rim motosikal berwarna merah.

"Berdasarkan laporan, pemilik kandang berusia 39 tahun terbabit menyedari kehilangan anjing berwarna hitam itu kira-kira jam 2 petang Sabtu lalu.

"Pemilik itu memaklumkan, terdahulu beliau menambat dan mengurung anjing berkenaan di dalam kandang.

"Empat rim motosikal disimpan dalam kandang terbabit juga dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan individu tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, pemilik itu mendakwa memiliki lesen untuk membela anjing berkenaan untuk tujuan menjaga ternakannya seperti lembu, ayam dan itik.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X