Jumaat, 20 November 2020 | 5:56pm
Mhd Khairol menunjukkan pintu yang diketuk susulan gangguan misteri di rumahnya di Kampung Batu 37, Sabak Bernam. - Foto Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini
Mhd Khairol menunjukkan pintu yang diketuk susulan gangguan misteri di rumahnya di Kampung Batu 37, Sabak Bernam. - Foto Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini

'Siapa ketuk pintu, jadi misteri penduduk kampung di Sabak Bernam'

SABAK BERNAM: Bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan penghuni rumah, mencetuskan tanda tanya dan menjadi misteri dalam kalangan penduduk beberapa kampung sekitar daerah ini sejak kelmarin.

Ketukan itu menimbulkan persoalan dengan pelbagai ulasan daripada netizen, antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu hingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Difahamkan, gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi itu dan membabitkan beberapa kampung lain, antaranya Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.

Penduduk Kampung Batu 37, Mhd Khairol Anuar Mhd Zaini, 38, mendakwa ketika berada di dapur rumahnya kira-kira 10.45 malam, dia terdengar bunyi ketukan yang datang dari pintu dapurnya.

"Bunyi ketukan itu kuat seolah seseorang mahu masuk ke dalam rumah dengan cepat.

"Apabila saya intai menerusi tingkap, tidak nampak siapa yang ketuk. Beberapa minit kemudian, bunyi ketukan itu kembali dan ia datang dari bilik air di dalam rumah.

"Kebetulan bilik air itu sudah lama tidak digunakan, jadi seluruh tubuh saya menggigil dan bulu roma meremang sebaik dengar ketukan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara tangkap layar komen netizen mengenai kejadian misteri di Sabak Bernam.
Antara tangkap layar komen netizen mengenai kejadian misteri di Sabak Bernam.

Penduduk Kampung Tengah, Nor Zaihana Yaakob, 38, mendakwa turut mengalami pengalaman sama ketika berada dua anak dan ibunya ketika berada di rumah.

"Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja. Namun, sangkaan itu meleset apabila tiada siapa di luar rumah sewaktu saya menjenguk menerusi tingkap.

"Seram jugalah dengan peristiwa ini. Tambahan pula, suami tiada di rumah kerana bekerja malam," katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman, memaklumkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu.

Muhammad Nazri berkata, gangguan itu turut berlaku kepada dirinya ketika berada di rumah kira-kira 11 malam kelmarin.

"Difahamkan, hampir separuh penduduk kampung ini mengadu berkenaan kejadian (ketukan pintu) itu.

"Saya menasihatkan mereka agar berhati-hati dan tidak membuka pintu sekiranya terdengar bunyi mencurigakan," katanya.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan menghubungi polis atau pihaknya, selain jiran terdekat sekiranya ternampak individu mencurigakan.

"Kami kini mengambil tindakan dengan melakukan rondaan membabitkan sukarelawan MPKK bermula 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini," katanya.

Berita Harian X