Jumaat, 20 November 2020 | 11:46am
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui petunjuk baharu mengesan seorang wanita hilang seminggu lalu apabila kesan tempat berteduh ditemui di hutan Nanga Emgkeranji, Pakan, Bintangor. - Foto ihsan bomba
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui petunjuk baharu mengesan seorang wanita hilang seminggu lalu apabila kesan tempat berteduh ditemui di hutan Nanga Emgkeranji, Pakan, Bintangor. - Foto ihsan bomba

Bomba temui petunjuk baharu wanita hilang di hutan

BINTANGOR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui petunjuk baharu mengesan seorang warga emas hilang seminggu lalu apabila kesan tempat berteduh ditemui di hutan Nanga Emgkeranji, Pakan di sini, semalam.

Turut ditemui kesan tapak kaki dan tangan di kawasan di tebing Sungai Raba.

Susulan penemuan petunjuk baharu itu, operasi SAR yang masuk hari keenam, hari ini diperluaskan hingga ke hulu anak sungai berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, 55 anggota SAR terdiri daripada 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Multi-Skill Team (MUST) dan anjing pengesan serta 10 anggota polis dengan dua anjing pengesan.

"Operasi itu turut disertai enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu 28 penduduk kampung.

"Kesan tempat berteduh dan tapak kaki serta tangan itu ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi upacara ritual miring yang diadakan penduduk kampung ketika operasi pencarian mula dilancarkan sebelum ini.

"Penemuan petunjuk itu memberi harapan kepada kami untuk mengesan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa, Chemeral Mering, 63, dari Rumah Panjang Lingoh, Nanga Engkeranji dilaporkan hilang selepas balik dari Pakan, Jumaat lalu.

Sebelum kehilangannya, mangsa dikatakan menghadiri temuduga untuk mendapatkan bantuan di Pejabat Kebajikan Daerah Pakan.

Selesai temuduga, mangsa dikatakan ke Nanga Entaih dan menunggu anak buahnya untuk membawanya balik ke kediamannya.

Bagaimanapun, selepas lama menunggu, anak buahnya tidak datang dan mangsa kemudian berjalan melalui jalan lama ke kediamannya yang mengambil masa sejam tetapi sehingga malam, mangsa tidak tiba di rumah panjang.

Menyedari kehilangannya, penduduk kampung melancarkan usaha mencari, namun gagal dan JBPM hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 8.03 malam, Ahad lalu.

Berita Harian X