Khamis, 19 November 2020 | 1:41pm
Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Anggota polis didakwa seludup 27 warga India

SUNGAI PETANI: Dua anggota polis berpangkat sarjan dan konstabel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menyeludup 27 warga India di Kampung Haji Abas, Baling, tahun lalu.

Tertuduh Mohd Fazlan Abdullah, 57, dan Mohammad Faiz Idris, 23, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, kedua-kedua mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Balai Polis Pangkalan Hulu, didakwa melakukan penyeludupan 27 warga India di Kampung Haji Abas, Baling, Kedah, kira-kira jam 12.15 tengah malam pada 23 Mei 2019.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Jabatan Imigresen, Fazril Sani Mohamad Fadzil dan Siti Ruvinna Mohd Rawi, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz Jalaluddin, Mohd Alif Affandi Zulkifli dan Jesvinderjit Singh.

Jesvinderjit yang mewakili Mohd Fazlan, dalam rayuan memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin kerana tertuduh menghidap penyakit jantung dan baru sahaja menjalani pembedahan tahun lalu.

Mahkamah bagaimanapun tidak membuat sebarang keputusan berhubung jaminan ke atas kedua-dua tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, kedua-dua mereka ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sehingga menunggu keputusan lanjut mahkamah.

Sebutan semula kes akan dibuat semula di Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Disember depan.

Berita Harian X