Jumaat, 13 November 2020 | 4:09pm
KENDERAAN pengunjung pusat hiburan yang didapati parkir di bahagian bawah tanah.
KENDERAAN pengunjung pusat hiburan yang didapati parkir di bahagian bawah tanah.

PKPB: Pengunjung pusat hiburan parkir bawah tanah elak dihidu pihak berkuasa

KUALA LUMPUR: Pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, di sini, dikesan menggunakan taktik parkir kenderaan mereka di ruang bawah tanah bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar hasil pemeriksaan polis sebelum melakukan serbuan ke atas pusat hiburan itu, kira-kira jam 11 malam tadi.

Terdahulu ketika tinjauan dilakukan kira-kira jam 10.30 malam di kawasan hadapan premis terletaknya pusat hiburan itu, suasana dilihat sunyi seolah-olah tiada sebarang kegiatan berlaku.

Bagaimanapun, polis curiga apabila hasil pemeriksaan di kawasan parkir bawah tanah, mendapati ada puluhan kenderaan mewah dengan beberapa lelaki dilihat berlegar-legar sambil memegang walkie-talkie.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, kemudian bertindak pantas menahan tiga lelaki disyaki berperanan memantau kehadiran polis.

"Susulan itu, polis berjaya melakukan serbuan tanpa dapat dihidu oleh pengunjung dan pihak pengurusan premis hiburan terbabit.

"Dalam serbuan itu, polis menahan 79 lelaki tempatan dan 19 wanita tempatan.

"Polis juga menahan lapan wanita warga asing membabitkan enam dari China dan masing-masing seorang warga Russia serta Ukraine," katanya kepada BH, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, seramai 104 individu dikenakan kompaun kerana melanggar syarat PKPB.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur juga menjalankan pemeriksaan air kencing dan menahan sembilan individu, termasuk dua wanita yang didapati positif dadah," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen, serta Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X