Selasa, 10 November 2020 | 1:21pm

Ahli perniagaan didakwa rogol, lakukan kesalahan seksual terhadap anak kandung

AMPANG: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 41 tuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya, secara berterusan setiap bulan sejak Januari lalu.

Tertuduh yang berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa atas 14 tuduhan melakukan persetubuhan dengan mangsa yang berusia 15 tahun 11 bulan, di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa di sini, antara jam 2.10 hingga 8.35 pagi, pada Januari sehingga Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa atas 18 tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan mangsa sama, di sebuah rumah dan kawasan hutan di Bukit Antarabangsa di sini, antara Januari dan Oktober lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dia turut berdepan sembilan tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan membantah sebarang permohonan ikat jamin kerana dikhuatiri akan melarikan diri dan tidak dapat dikesan serta mengganggu mangsa yang juga anak kandungnya.

"Hubungan tertuduh dengan mangsa adalah ayah dan anak.

"Bagi seseorang yang sepatutnya bertindak sebagai penjaga kepada anak kandungnya, tertuduh bertindak dengan cara menjijikkan sehingga sanggup melakukan kesalahan seksual seperti dalam pertuduhan," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan perlu menguruskan syarikat dan kebajikan pekerja serta menjaga tiga kakak dan seorang adik menghidap kanser tahap tiga.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes dan melantik peguam.

Sebelum ini, media melaporkan Ahad lalu, mangsa melarikan diri dari rumah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras secara berseorangan sebelum ditahan polis kerana mangsa tiada permit perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selepas ditemubual, mangsa menceritakan ingin pulang ke pangkuan ibunya di Kuala Nerang, Kedah kerana tidak tahan dengan perbuatan bapa kandungnya. Ibu bapa mangsa bercerai pada 2004 selepas mangsa dilahirkan," katanya.

Tertuduh (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Sesyen di Ampang, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Tertuduh (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Sesyen di Ampang, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X