Rabu, 28 Oktober 2020 | 1:20pm

Pembantu kedai makan didakwa melakukan amang seksual fizikal

KANGAR: Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di Jejawi pada tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Rassul Aiman Zamri, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohammad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 16 tahun di sebuah bilik inap desa di Jejawi pada jam 4 pagi 9 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.

Mohd Izham memohon mahkamah menetapkan nilai jaminan berjumlah RM10,000 ke atas tertuduh kerana membabitkan kesalahan yang dianggap sebagai berat.

Bagaimanapun, Mohd Hapiz memohon agar nilai jaminan dikurangkan kerana anak guam hanya bekerja di kedai makan bapanya dan mempunyai lima lagi adik.

Ainul Shahrin kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM4,000 dengan seorang penjamin, dan tarikh sebutan semula kes pada 30 November depan.

Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kangar, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di Jejawi pada tahun lalu. - NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kangar, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di Jejawi pada tahun lalu. - NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Berita Harian X