Selasa, 27 Oktober 2020 | 2:41pm
Dua lelaki meragut di Kluang, diberkas polis di Johor Bahru. FOTO NSTP
Dua lelaki meragut di Kluang, diberkas polis di Johor Bahru. FOTO NSTP

Meragut di Kluang, dicekup di JB

KLUANG: Dua lelaki yang melarikan diri ke Johor Bahru sejak lima hari lalu selepas meragut seorang wanita warga emas di sini, akhirnya dicekup polis.

Peragut terbabit ditahan polis hari ini di sebuah rumah di Jalan Larkin Perdana dekat Larkin kira-kira jam 1.50 pagi,

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata kedua-duanya ditahan dalam serbuan dilakukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

"Hasil serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun selain merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah ragut pada 22 Oktober lalu," katanya kepada media hari ini.

Pada 22 Oktober lalu, seorang wanita berusia 76 tahun dilaporkan cedera di tangan kanan dan kiri selepas ditolak peragut yang meragut rantai emas dipakainya.

Kejadian itu menjadi viral apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah di Jalan Resak tersebar di laman sosial.

Hang Seng berkata, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif dadah jenis 'Meth' selain mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Katanya, hasil soal siasat mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mengaku melakukan jenayah ragut di Jalan Resak sebelum melarikan diri ke Johor Bahru.

"Bagaimana pun, rantai emas terbabit dilaporkan dijual di sebuah kedai pajak gadai di Simpang Renggam," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berita Harian X