Sabtu, 24 Oktober 2020 | 10:40pm

Warga Singapura cuba suap pegawai Imigresen

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang warga Singapura kerana cuba menyuap pegawai Jabatan Imigresen dengan wang tunai RM100, petang tadi.

Suspek cuba merasuah pegawai terbabit sebagai balasan membenarkan beliau memasuki semula Malaysia menggunakan Program Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), tanpa perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di Singapura, seperti yang ditetapkan dalam program RGL.

Program RGL ialah program yang membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi bagi kedua-dua negara.

Suspek lelaki berusia 43 tahun bertugas sebagai pengarah di syarikat swasta, ditahan kira-kira jam 3.50 petang tadi di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Berita Harian X