Selasa, 20 Oktober 2020 | 1:09pm
Antara PATI yang berjaya ditahan ketika cuba menceroboh sempadan Sarawak. NSTP/IHSAN MARKAS ATM
Antara PATI yang berjaya ditahan ketika cuba menceroboh sempadan Sarawak. NSTP/IHSAN MARKAS ATM

497 PATI diusir dari sempadan Sarawak

KUCHING: Seramai 497 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 28 tekong darat yang cuba masuk dan keluar dari Sarawak melalui jalan tikus dekat sempadan diusir pasukan keselamatan dalam Op Benteng sepanjang tempoh 1 Mei hingga 18 Oktober.

Jurucakap Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, daripada jumlah itu, 459 adalah warga Indonesia dan selebihnya dari Filipina, Bangladesh, Thailand, India, Vietnam dan Myanmar.

Beliau berkata, daripada 28 tekong darat yang ditahan pula, 23 adalah warga Indonesia, manakala lima ada rakyat tempatan.

"Op Benteng dilancarkan di bawah National Task Force (NTF) sebagai langkah untuk menangani penularan pandemik COVID-19 oleh PATI.

"NTF yang dikoordinasikan oleh ATM sebagai agensi peneraju sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan sempadan di Sarawak sama ada persempadanan maritim mahupun daratan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan matlamat untuk mengekang kemasukan PATI, NTF yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memberi tumpuan kepada perairan dan lorong-lorong tikus yang menjadi laluan PATI untuk masuk dan keluar dari Sarawak.

"Penugasan NTF di Sarawak meliputi atur gerak komponen maritim meliputi lapan sektor rondaan maritim membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Penugasan komponen daratan pula membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Gerakan Am (PGA), JIM, JKDM, RELA dan KKM," katanya.

Menurutnya lagi, kawalan persempadanan daratan Sarawak-Kalimantan diperkasakan dengan operasi sedia ada iaitu Op Awas/Keris Parang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang dan Op Jaga Kawan yang dioperasikan oleh TDM, manakala Op Awas/Batas dan Op Benteng PDRM dioperasikan oleh PGA.

"Operasi-operasi itu membabitkan kawalan persempadanan di Biawak, Kandaie, Serikin, Tebedu, Balai Ringan dan Lubok Antu," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat terutama di Sarawak supaya bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkenaan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Maklumat itu boleh disalurkan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-6251 1223). Kerjasama daripada semua pihak adalah amat dihargai dalam usaha memastikan operasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Berita Harian X