Khamis, 15 Oktober 2020 | 2:10pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Lelaki Myanmar ditahan tikam lelaki Bangladesh

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar kerana dipercayai menikam seorang lelaki Bangladesh menggunakan pisau, di sebuah kedai peralatan di Batu 7 Jalan Ipoh, Selayang dekat Gombak, semalam.

Dalam kejadian jam 2.20 petang, mangsa berusia 25 tahun yang juga pekerja di kedai itu menerima empat jahitan di bahu akibat ditikam suspek berumur 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata hasil siasatan mendapati suspek turut bertindak agresif dengan merosakkan barangan dalam kedai terbabit.

"Dalam kejadian itu, suspek dipercayai mabuk dan meminta dua basikal dipamerkan di hadapan kedai berkenaan. Bagaimanapun, tindakan itu dihalang mangsa menyebabkan suspek beredar.

"Kemudian, suspek datang semula dan membawa sebilah pisau lalu menikam mangsa di bahagian kiri bahu mengakibatkan lelaki Bangladesh terbabit cedera.

"Namun, mangsa bersama rakan sekerja berjaya menangkap suspek yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, suspek turut mengalami kecederaan akibat pergelutan dengan mangsa.

"Mangsa dan suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan susulan," katanya.

Polis akan memohon reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Berita Harian X