Khamis, 8 Oktober 2020 | 4:24pm

Lelaki mengamuk, libas parang ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga emas dipercayai kurang siuman hasil bantuan orang awam kerana melibas parang ke arah sekumpulan lelaki di sebuah kedai makan di Taman Sri Tanjung, Semenyih, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, seorang mangsa dilaporkan cedera di bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata suspek berusia 63 tahun itu ditahan bersama dua parang panjang dan sebilah pisau bagi membantu siasatan.

"Suspek turut cedera selepas berlaku pergelutan ketika dikejar dan ditangkap oleh mangsa bersama rakannya yang lain.

"Mangsa kemudian menghubungi balai polis berdekatan untuk bantuan susulan. Tahanan kemudian dibawa oleh anggota polis ke Hospital Kajang untuk rawatan.

"Semakan awal mendapati lelaki berkenaan sebelum ini ada menerima rawatan psikiatrik di Hospital Ulu Kinta, Perak. Siasatan lanjut pula mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek direman sehingga 10 Oktober ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X