Selasa, 6 Oktober 2020 | 4:07pm
Pesara tentera dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat
Pesara tentera dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat

Dipenjara 13 tahun, 6 sebatan rogol anak saudara

AYER KEROH: Seorang pesara tentera dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak saudaranya ketika mangsa berusia enam tahun, tujuh tahun lalu.

Hakim Norma Ismail menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 48 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, tertuduh didapati merogol anak saudaranya yang ketika itu berumur enam tahun di rumahnya di Taman Tanjung Minyak Utama, di sini pada jam 2 petang, awal Disember 2013.

Tertuduh turut didapati bersalah bagi pertuduhan kedua yang mana dia dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii menerusi cara memasukkan zakar ke dalam mulut kanak-kanak yang sama pada jam 2.10 petang, di tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh kali pertama didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu pada 25 Mei 2015, selepas ibu bapa mangsa menyedari perubahan sikap anak perempuan mereka.

Mangsa dikatakan sering bertindak agresif dengan menekup muka adik lelakinya dengan bantal sebelum memaklumkan dirinya pernah diperlakukan sedemikian oleh bapa saudaranya iaitu tertuduh yang seterusnya membawa kepada pembongkaran kejadian berkenaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira umur mangsa yang baharu berusia enam tahun ketika kejadian selain hubungan mereka yang mempunyai pertalian saudara.

Hujahnya, sehingga kini, mangsa yang sudah berusia 13 tahun masih fobia dengan kejadian terbabit dan disahkan mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD).

Norma pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara 13 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan bermula hari ini.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding berlangsung sejak 26 Mei 2015. Tertuduh diwakili Peguam, N Gunalan.

Berita Harian X