Ahad, 4 Oktober 2020 | 8:13am
Antara pengunjung yang ditahan kerana melanggar SOP PKPP. - NSTP/Hazreen Mohamad
Antara pengunjung yang ditahan kerana melanggar SOP PKPP. - NSTP/Hazreen Mohamad

180 pengunjung pusat hiburan dikompaun ingkar SOP

KUALA LUMPUR: Seramai 180 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu dikompaun RM1,000 seorang kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tengah malam tadi.

Dalam serbuan Op Noda polis kira-kira 12.15 tengah malam itu, sembilan lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan dan tiga warga asing yang bekerja sebagai pengurus, juruwang dan pelayan bar di pusat hiburan berkenaan juga ditahan, manakala tiga lagi warga tempatan ditahan kerana memiliki tatu yang tidak diwartakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pihaknya mendapati ramai pengunjung di pusat hiburan itu tidak mengikut SOP dan lesen digunakan oleh premis berkenaan adalah sebagai restoran bukan sebuah pusat hiburan.

"Hasil pemeriksaan mendapati pengunjung membabitkan 137 lelaki dan 43 wanita warga tempatan berumur lingkungan 21 hingga 38 tahun berhibur tanpa ada sebarang penjarakan fizikal.

Antara pengunjung yang ditahan kerana melanggar SOP PKPP. - NSTP/Hazreen Mohamad
Antara pengunjung yang ditahan kerana melanggar SOP PKPP. - NSTP/Hazreen Mohamad

363 individu ditahan kerana kesalahan ingkar PKP. Gambar hiasan. Foto NSTP
363 individu ditahan kerana kesalahan ingkar PKP. Gambar hiasan. Foto NSTP

"Kesemua pengunjung dan pekerja premis telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dikenakan tindakan kompaun dan siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas serbuan polis di lokasi itu.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan muzik, wang tunai dan dua keping resit jualan dari pusat hiburan berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata ujian saringan air kencing terhadap 60 pengunjung pusat tersebut juga didapati negatif dan tidak ada yang mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966, serta Peraturan 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – BERNAMA

Berita Harian X