Ahad, 27 September 2020 | 3:17pm
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. - NSTP/Danial Saad
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. - NSTP/Danial Saad

296 dikompaun ingkar PKPP

KUALA LUMPUR: Seramai 296 individu dikenakan kompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Plaza Bukit Jalil, Bandar Bukit Jalil di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga warga asing terdiri daripada dua wanita China dan seorang lelaki Korea berusia antara 18 hingga 21 tahun ditahan atas kesalahan sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pemeriksaan mendapati pusat hiburan berkenaan bukan sahaja beroperasi melebihi masa dibenarkan malah tidak mempunyai lesen beroperasi yang sah.

"Dalam serbuan itu, seramai 291 pengunjung warga tempatan terdiri daripada 195 lelaki dan 96 wanita dikenakan kompaun dan tiga warga asing ditahan kerana ingkar PKP.

"Turut ditahan adalah seorang lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis serta seorang wanita tempatan yang juga pekerja di pusat hiburan itu, masing-masing berusia 27 tahun dan 26 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati premis hiburan berkenaan tidak mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) PKPP berhubung penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung.

Menerusi serbuan itu juga, katanya pihak polis merampas empat unit peralatan audio serta wang tunai RM606.

Serbuan dan pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Berita Harian X