Selasa, 22 September 2020 | 8:34pm
Rakaman CCTV yang tular di media sosial. - NSTP/Ihsan pembaca
Rakaman CCTV yang tular di media sosial. - NSTP/Ihsan pembaca

Lelaki dirakam lempar kucing ke balai polis

KUALA LUMPUR: Lelaki yang dirakam melempar seekor kucing memanjat cermin keretanya di Jalan Rejang, Setapak, di sini, sehingga mengundang kecaman dari netizen media sosial, tampil ke Balai Polis Setapak, pagi tadi.

Suspek berusia 36 tahun itu tampil selepas dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan berhubung tindakannya yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata suspek yang didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau pada masa ini dalam proses memberikan keterangan lanjut kepada pegawai penyiasat.

"Pada masa ini motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1)(a) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

"Perbuatan menzalimi haiwan apabila disabitkan kesalahan oleh mahkamah akan dikenakan denda RM50,000 atau penjara untuk tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Dalam satu rakaman CCTV berdurasi 0.55 saat yang tular di laman media sosial sejak malam tadi, menunjukkan suspek yang baru tiba ke keretanya yang diletakkan di lot tempat letak kereta Jalan Rejang, bertindak melempar seekor kucing yang pada ketika itu sedang memanjat cermin hadapan keretanya.

"Tindakan itu menimbulkan kemarahan kerana dilakukan secara sedar dan boleh menyebabkan kucing itu cedera dan mungkin mengalami pendarahan dalaman akibat hentakan kuat ke lantai," katanya.

Saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Aisyah Mohd Nor, di talian 013-9338214 atau pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Shahrizal Salleh, di talian 017-7134705.

Berita Harian X