Isnin, 21 September 2020 | 10:32pm
Polis melakukan siasatan di tempat kejadian seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia disyaki dibunuh, di Kampung Rampangi, Kuching, hari ini. - - Foto Melvin Joni
Polis melakukan siasatan di tempat kejadian seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia disyaki dibunuh, di Kampung Rampangi, Kuching, hari ini. - - Foto Melvin Joni

Wanita warga emas maut disyaki dibunuh cucu

KUCHING: Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia, disyaki dibunuh cucu lelakinya, di kediaman mangsa di Kampung Rampangi, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 6.40 pagi selepas disedari salah seorang anak saudara mangsa yang pergi ke rumahnya untuk berziarah.

Beliau berkata, mangsa berusia 66 tahun dilaporkan ditemui terbaring di atas kerusi di ruang tamu rumahnya dalam keadaan muka berlumuran darah.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS), disyaki akibat ditikam beberapa kali di bahagian muka dengan menggunakan senjata tajam oleh cucu lelaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Merbin berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 27 tahun dipercayai bertengkar dengan mangsa pada malam sebelum kejadian kerana tidak diberikan wang oleh warga emas itu.

Katanya, suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berdekatan sebelum berjaya ditangkap orang awam.

Beliau berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 7.40 pagi tadi dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Merbin berkata, suspek dilaporkan berada dalam keadaan khayal ketika ditahan dan ujian saringan awal air kencing lelaki itu disahkan positif dadah methamphetamine.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan sebanyak dua kali pada 2019 atas kesalahan jenayah berkaitan dadah," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian turut menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke HUS untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X