Isnin, 21 September 2020 | 9:36am

Lelaki warga asing ditikam hingga mati

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di Jalan 43, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini, malam tadi.

Pihak polis yang menerima maklumat kejadian pada jam 10.15 malam, menghantar sepasukan anggotanya ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata pemeriksaan awal yang dijalankan menemui beberapa kesan tikaman pada bahagian belakang badan, leher dan kepala mangsa.

"Mangsa yang juga seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an dipercayai dibunuh di lokasi mayatnya ditemui.

"Kita sudah mengenal pasti suspek dan tangkapan juga sudah dilakukan. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menyiasat motif pembunuhan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X