Sabtu, 19 September 2020 | 10:14am
Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah dua tingkat yang terbakar hingga mengorbankan seorang lelaki warga emas di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek, Butterworth. - Foto NSTP/ Ihsan JBPM
Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah dua tingkat yang terbakar hingga mengorbankan seorang lelaki warga emas di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek, Butterworth. - Foto NSTP/ Ihsan JBPM

Lelaki warga emas rentung terperangkap dalam kebakaran

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga emas rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di kediaman dua tingkat yang disewanya di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek, di sini, pagi ini.

Mayat Azali Saad, 64, ditemui di dalam bilik tingkat atas rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.53 pagi berhubung insiden kebakaran itu.

"Anggota polis ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut dan mendapati kebakaran itu sedang dipadamkan anggota bomba.

"Sebaik pemeriksaan dilakukan di dalam rumah itu, terdapat seorang lelaki sudah tidak bernyawa terperangkap di sebuah bilik tingkat atas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, pihak bomba memaklumkan kebakaran itu bermula dari bahagian atas rumah sebelum ia merebak membakar keseluruhan struktur kediaman terbabit.

"Ini kerana bahagian atas rumah itu strukturnya diperbuat daripada kayu dan menjadikan api cepat merebak.

"Kebakaran ini hanya membabitkan sebuah rumah sahaja dan puncanya masih dalam siasatan," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa yang maut menyewa sebuah bilik di rumah terbabit dan terdapat dua bilik lain yang turut disewa penyewa di rumah itu, namun mereka sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat.

Berita Harian X