Jumaat, 18 September 2020 | 10:16pm
Remaja mangsa rogol bapa tiri murung dan trauma. Hiasan
Remaja mangsa rogol bapa tiri murung dan trauma. Hiasan

Lelaki ditahan rogol anak tiri berusia 16 tahun

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun, kelmarin selepas disyaki merogol anak tirinya berusia 16 tahun di kediaman mereka di sini, sejak tahun lalu sehingga mangsa mengalami trauma dan kemurungan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis dibuat mangsa selepas menceritakan kejadian itu kepada guru kaunseling di sekolahnya, Isnin lalu.

"Siasatan awal mendapati suspek merogol mangsa beberapa kali tahun lalu sebelum mengulangi perbuatan itu pada Mac hingga Jun lalu termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di sebuah kawasan di daerah ini yang membabitkan kediaman mereka.

"Mangsa mengalami trauma serta kemurungan akibat kejadian itu sehingga takut menceritakan perkara itu kepada ibunya.

"Bagaimanapun, mangsa menceritakan perlakuan bapa tirinya kepada seorang guru kaunseling di sekolah sebelum membuat keputusan untuk membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan aduan mangsa, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menangkap suspek di sebuah restoran di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

"Suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan iaitu sumbang mahram dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

"Pihak polis masih meneruskan siasatan dengan beberapa individu dipanggil membantu siasatan dan mangsa juga sudah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan perubatan," katanya.

Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan atau menghubungi polis Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk menyalurkan maklumat.

Berita Harian X