Khamis, 17 September 2020 | 12:37pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Gaji CEO 1MDB RM93,000 sebulan

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau menerima gaji berjumlah RM93,000 sebulan sebagai CEO syarikat pelaburan strategik negara itu.

Mohd Hazem berkata, beliau memulakan tugas di 1MDB sebagai Ketua Pegawai Operasi pada 2012 dengan menerima gaji sebanyak RM65,000 sebulan.

Saksi pendakwaan ke-10 itu yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa, P Kunyalam pada sesi pemeriksaan utama, berkata beliau menerima gaji terakhir sebagai CEO 1MDB pada 2015 dengan gaji terakhir RM97,000.

Mohd Hazem berkata, beliau juga menerima bonus lima bulan gaji pada 2013 dan bonus 10 bulan gaji pada 2014.

Katanya, beliau tidak menerima sebarang bayaran daripada dana diperoleh syarikat itu.

Disoal sama ada beliau bersama-sama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkonspirasi dalam melakukan penyelewengan berkaitan hal ehwal 1MDB, saksi pendakwaan ke-10 itu berkata "tidak."

Mohd Hazem berkata demikian ketika pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berita Harian X