Ahad, 13 September 2020 | 3:14pm
Sebahagian 4.5 tan biji kopi mentah yang dirampas di Pelabuhan Klang - Foto NSTP
Sebahagian 4.5 tan biji kopi mentah yang dirampas di Pelabuhan Klang - Foto NSTP

MAQIS rampas 4.5 tan biji kopi mentah

PELABUHAN KLANG : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor mematahkan cubaan membawa masuk sebanyak 4.5 tan biji kopi mentah tanpa permit di Pelabuhan Klang Utara, di sini semalam.

Pengarahnya, Dr Tarmisal Alimin, berkata biji kopi mentah yang dibungkus bernilai RM197,000 itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Tapak Pemeriksaan Gudang B2, Pelabuhan Klang Utara.

"Pemeriksaan kira-kira jam 10.30 pagi mendapati kontena yang membawa biji kopi mentah dari Indonesia itu tidak mempunyai Permit Import MAQIS.

"Ia dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta sama membabitkan denda melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Tarmisal berkata, pengimportan dagangan keluaran pertanian tanpa mengikut syarat boleh mendatangkan kesan buruk terhadap industri pertanian negara.

"Sekiranya biji kopi itu dibawa dari negara yang berisiko dan tidak mematuhi syarat import yang sepatutnya, ia dikhuatiri membawa ancaman serangan perosak pertanian.

Berita Harian X