Rabu, 9 September 2020 | 5:34pm

Tindakan pantas orang awam cekup 4 remaja ragut wanita

KUALA LUMPUR: Empat remaja termasuk seorang wanita ditahan sekumpulan penduduk di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi, di sini, selepas meragut seorang wanita.

Dalam kejadian jam 8.40 malam tadi, suspek wanita berusia 16 tahun mendekati mangsa yang berada di tepi jalan sebelum merampas telefon bimbit mangsa dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata ketika kejadian itu suspek datang kepada mangsa untuk meminjam telefon dengan alasan menghubungi ibunya.

"Ketika sedang menaip nombor yang diberikan, suspek terus merampas telefon bimbit mangsa dan melarikan diri.

"Secara kebetulan, orang ramai yang berada di sebuah kedai makan berhampiran melihat kejadian itu segera bertindak mengejar suspek," katanya kepada BH.

Beliau berkata suspek wanita melarikan diri bersama tiga lagi rakan lelakinya sebelum kesemua mereka dapat ditahan.

"Penduduk kawasan berkenaan kemudian menyerahkan suspek kepada anggota Balai Polis Salak Selatan Baru untuk tindakan tangkapan semula.

"Sehubungan itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menahan semua suspek terbabit," katanya.

Mokhsein berkata tiga lagi suspek lelaki yang ditahan berusia antara 14 hingga 17 tahun dan kesemua mereka didapati tidak bersekolah.

Beliau berkata polis sudah memanggil ibu bapa kesemua suspek.

Keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain tidak terbabit dalam pengambilan dadah.

Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah.

Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

EMPAT remaja ditahan orang awam selepas meragut seorang wanita di di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
EMPAT remaja ditahan orang awam selepas meragut seorang wanita di di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
Berita Harian X