Rabu, 9 September 2020 | 4:58pm
Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah bagi sambung bicara kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Fathil Asri
Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah bagi sambung bicara kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Fathil Asri

Rosmah biayai RM100,000 sebulan pasukan cybertrooper

KUALA LUMPUR: Satu pasukan cybertrooper ditubuhkan pada 2012 atas arahan Datin Seri Rosmah Mansor bagi memantau kandungan media sosial kritikal atau memberikan persepsi negatif terhadapnya dengan dana pembiayaan RM100,000 sebulan diberikan isteri bekas perdana menteri itu sendiri.

Bekas Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor yang menubuhkan pasukan lasykar siber itu, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pasukannya juga perlu menangkis dan menjelaskan setiap fitnah dan tohmahan serta tuduhan terhadap Rosmah kepada orang ramai.

Rizal yang juga saksi pendakwaan ke-21 berkata, pasukan itu beroperasi dengan dana diberikan Rosmah sendiri.

"Beliau memberikan kepada saya wang tunai berjumlah RM100,000 setiap bulan untuk membiayai pasukan itu.

"Saya sendiri dalam kapasiti sebagai pegawai khas bertanggungjawab untuk menangkis fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap Rosmah. Ini telah saya lakukan melalui akaun Facebook saya sendiri dan kenyataan media yang saya keluarkan.

"Kebanyakan kenyataan media yang dikeluarkan oleh saya mendapat persetujuan daripada Datin Seri Rosmah terlebih dahulu dan ada juga dikeluarkan atas inisiatif saya sendiri," katanya.

Menurut Rizal, antara contoh berita negatif Rosmah yang perlu tangani ialah antaranya isu memiliki beg tangan mewah, isu perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuannya yang terlampau tinggi dan isu keperluan untuk berjumpa Rosmah bagi mendapatkan projek kerajaan.

Rizal berkata, isu sedemikian sering dilaporkan dan disensasikan pelbagai pihak terutama pembangkang ketika itu sehingga pada satu tahap beliau dilihat seolah-olah menjadi liabiliti kepada imej Perdana Menteri.

Katanya, atas sebab itu Pejabat Perdana Menteri pernah menasihatkan Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) termasuk beliau (Rizal) untuk mengurangkan publisiti Rosmah dalam media massa dan perkara itu turut diketahui oleh Rosmah sendiri.

Berita Harian X