Rabu, 9 September 2020 | 12:58pm
Mangsa kemalangan di Serian meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto NSTP/MELVIN JONI
Mangsa kemalangan di Serian meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto NSTP/MELVIN JONI

Pengawal maut lintas jalan

SERIAN: Seorang pengawal keselamatan maut ketika melintas jalan, selepas dilanggar motosikal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata kemalangan dilaporkan kira-kira 6.05 pagi di Kilometer 90 Jalan Kuching - Sri Aman berhampiran pasar Balai Ringin.

Katanya akibat kejadian, mangsa Awang Jalani Awang Zain, 54, dari Kampung Melayu Balai Ringin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

"Kemalangan berlaku apabila pejalan kaki terbabit secara tiba-tiba berlari menyeberang jalan, lalu dilanggar oleh motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki yang datang dari arah Serian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balai Ringin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, penunggang yang berusia 19 tahun dari Kampung Ensebang, Serian mengalami luka ringan di kaki dan tangan.

Katanya, pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X