Selasa, 8 September 2020 | 6:49pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadiri perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB di Kompleks Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadiri perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB di Kompleks Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Mungkin Jho Low tidak bercakap benar'

KUALA LUMPUR: Peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan tiada jaminan apa yang dinyatakan saksi pendakwaan mengenai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikaitkan dengan parti UMNO adalah benar.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, mungkin tidak pernah memberitahu saksi itu iaitu bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, bahawa syarikat pelaburan strategik terbabit dibangunkan bagi menyalurkan dana dalam UMNO.

Perkara mengenai apa yang diberitahu Jho Low itu dinyatakan dalam pernyataan saksi Mohd Hazem

selaku saksi pendakwaan ke-10.

Muhammad Shafee bagaimanapun mengulangi pendirian pihak pembelaan bahawa keterangan itu adalah dengar cakap dan tidak boleh dijadikan bukti dalam mahkamah, kecuali pendakwaan dapat membuktikan sebaliknya.

"Apa yang kononnya Jho Low beritahu bahawa dana adalah bagi faedah UMNO, mana jaminan perkara yang dinyatakan itu adalah benar?

"Kami menyatakan keterangan dengar cakap tidak boleh digunakan sama ada dalam pemeriksaan utama atau soal balas.

"Kami mengulangi isu ini kerana Yang Arif perlu membuat keputusan mengenainya bila-bila masa ia timbul, jika tidak ia akan menyebabkan seluruh perbicaraan menjadi rumit," katanya.

Muhammad Shafee berkata demikian dalam permohonan Najib supaya pendakwaan tidak memasukkan 24 daripada 118 muka surat pernyataan saksi Mohd Hazem yang dikatakan mengandungi keterangan 'dengar cakap'.

Pernyataan saksi Mohd Hazem bagaimanapun belum dibacakan dalam prosiding perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Najib.

Saksi pendakwaan ke-10 itu dijadualkan memberi keterangannya semalam, bagaimanapun ia dibantah oleh Muhammad Shafee kerana mendakwa 24 muka surat pernyataan saksi itu mengandungi keterangan 'dengar cakap'.

Muhammad Shafee berkata, jika disoal kepada saksi bagaimana beliau mengetahui apa yang diberitahu adalah benar, berkemungkinan saksi menjawab supaya perkara itu ditanyakan kepada Jho Low.

Bagaimanapun Muhammad Shafee mempersoalkan bagaimana untuk berbuat demikian dan mendapatkan pengesahan sedangkan Jho Low bukan saksi dalam perbicaraan dan masih gagal dikesan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahannya berkata, Mohd Hazem sepatutnya diberi peluang membacakan pernyataan saksi beliau terlebih dahulu.

Beliau berkata, pernyataan saksi Mohd Hazem itu adalah dibenarkan berdasarkan Seksyen 32(1)(b) Akta Keterangan berhubung keterangan individu yang tidak dapat dikesan, membabitkan urusan biasa sesebuah perniagaan.

Beliau berkata, persoalan sama ada keterangan saksi yang dipertikaikan itu adalah dengar cakap atau sebaliknya, perlu ditentukan hakim di akhir kes pendakwaan.

"Keterangan saksi tidak boleh difahami jika sebahagian daripadanya dibuang kerana perjalanan bukti dalam kes ini adalah sebahagian daripada transaksi," katanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan Khamis ini bagi pihak pembelaan mengemukakan hujahan berhubung Seksyen 32(1)(b) Akta Keterangan.

Berita Harian X