Khamis, 3 September 2020 | 5:56pm
Najib tiba untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Najib tiba untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana milik 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Bicara 1MDB: BN, PMO lindungi reputasi Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, selain ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Barisan Nasional (BN) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut terbabit melindungi reputasi Datuk Seri Najib Razak, ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula memuncak pada 2015.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata pada ketika itu akhbar Wall Street Journal menerbitkan artikel mengenai skandal penyelewengan 1MDB dan keadaan mula huru-hara dengan isu berkenaan.

Shahrol Azral yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan semula, berkata dua pegawai daripada PMO yang terbabit ialah Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan bekas Pegawai Khas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, beliau turut mengingati pada waktu itu penjawat awam daripada Kementerian Kewangan juga menggunakan frasa 'Must Protect the PM.'

Ditanya lanjut sama ada beliau mengenali bekas Pengarah Urusan Apco Worldwide Malaysia, Paul Geoffrey Stadlen, Shahrol Azral berkata beliau diperkenal kepada lelaki itu oleh Jho Low.

"Beliau adalah 'orang PR' (perhubungan awam) bos (Najib) yang menguruskan urusan perhubungan awam dan persepsi awam untuk Najib. Ketika bertemunya di Marriot Putrajaya, Paul amat berpendirian teguh ketika kami berbincang untuk melindungi reputasi PM.

"Saya juga bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ketika itu, iaitu Datuk Hassan Ariffin dan satu atau dua yang lain di rumah Ahmad Farid dengan objektif sama, iaitu untuk melindungi reputasi Najib.

"Sudah tentu keterangan saya kepada PAC dipengaruhi oleh idea untuk melindungi Najib. Faktanya ialah mana-mana keterangan yang mengaitkan nama Jho Low dipadamkan dan semua tanggungjawab bagi semua keputusan terletak di bahu saya," katanya.

Sri Ram: Jadi kamu terima apabila dipersalahkan?

Shahrol: Ya

Sri Ram: Orang Amerika panggil 'fall guy'.

Shahrol Azral: Kalau Melayu panggil kambing hitam.

Shahrol Azral yang memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan sejak 23 September tahun lalu, dilepaskan daripada kandang saksi hari ini, bagaimanapun boleh dipanggil semula jika terdapat keperluan.

Saksi itu memberikan keterangan terhadap Najib yang didakwa dengan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sementara itu, Shahrol Azral turut disoal mengenai isu sebab beliau tidak mengesahkan sendiri daripada Najib mengenai nota percakapan yang dikatakan arahan daripada Jho Low, dalam urusan 1MDB.

Saksi berkata, sejak awal penubuhan 1MDB, semua arahan yang diberikan dalam lingkungan nota percakapan berkenaan dan ia konsisten dengan tindakan seterusnya oleh Najib, selaku pemegang saham.

Katanya, beliau percaya Najib menyedari apa yang berlaku dalam hak ehwal urusan 1MDB kerana pada satu ketika, beliau dapat melihat bekas perdana menteri itu ada pengetahuan mendalam mengenai syarikat.

Sementara itu, ketika menjawab soalan balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol Azral tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa keterangan beliau mengenai arahan Jho Low dalam transaksi syarikat 1MDB hanya 'dengar cakap'.

Shahrol Azral berkata, dia berpegang dengan keterangan beliau di mahkamah bahawa tindakannya berhubung urusan syarikat (atas arahan Jho Low) konsisten dengan apa yang pemegang saham (Najib) mahukan.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

Berita Harian X