Khamis, 27 Ogos 2020 | 1:18pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP

Hakim benar pinda notis usul lucut harta Najib, Rosmah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Pendakwa Raya untuk meminda notis usul bagi melucut hak harta dirampas daripada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya serta 16 yang lain.

Harta dirampas daripada 18 pihak itu antaranya ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan dan 27 kereta serta beberapa hartanah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Pendakwa Raya meminda notis usul dan membetulkan tiga afidavit sokongan yang diikrarkan bagi menyokong permohonan melucut hak harta berkenaan.

Mohamed Zaini membuat keputusan itu selepas semua responden tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, berkata pihaknya perlu memfailkan pindaan terhadap notis usul dan afidavit sokongan selewat-lewatnya pada 3 September ini.

Katanya, mahkamah turut menetapkan 4 September bagi pengurusan kes untuk mendapatkan perintah mewartakan notis kepada pihak ketiga yang baharu.

Pendakwa Raya memohon untuk melakukan pindaan itu berikutan terdapat kesilapan pada nombor akaun bank, jenis akaun, nama dan cawangan bank serta tarikh sitaan pada notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan sebelum ini.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib; Datin Seri Rosmah Mansor; anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz dan anak pasangan itu, Nor Ashman Razak serta Nooryana Najwa sebagai responden pertama hingga kelima.

Responden lain ialah Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia; Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd; ibu kepada Jho Low, Goh Gaik Ewe; bekas pegawai bank Goldman Sachs, Ng Chong Hwa; isterinya, Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Antara barangan disita ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000; £2,700; 2,870,000 rupee Sri Lanka; wang ringgit lama, RM187,750; £320,500; 13,177,00 rupiah; AS$100; 376 hryvnies (Ukraine); €20; 50 franc Perancis; 10 rand Afrika Selatan; S$40; 531 riyal; 740 peso Filipina dan RM21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama; beg tangan pelbagai saiz dan jenama (empat); beg tangan pelbagai jenama (167) dan kasut pelbagai jenama (27) serta beg tangan pelbagai jenama (40).

Harta lain ialah 27 kereta jenis Nissan Urvan disita pada 2 Ogos 2018, selain beberapa bidang tanah dan aset lain.

Berita Harian X