Khamis, 27 Ogos 2020 | 9:51am

Remaja antara lima ditahan kes maut akibat gaduh

SHAH ALAM: Lima lelaki termasuk remaja 14 tahun dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan sehingga menyebabkan kematian di taman permainan, di sini ditahan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki berumur 23 tahun iaitu anak saudara si mati.

"Pengadu memberitahu, semasa berada di rumah jam 10.30 malam Isnin lalu, dia terima panggilan telefon daripada adik, memberitahu telefon bimbit miliknya diambil secara paksa oleh rakan dikenali sebagai Kak Long.

Katanya, Kak Long dipercayai berbuat demikian kerana alasan si adik mempunyai berhutang dengannya.

"Pengadu ke taman permainan itu untuk berjumpa Kak Long bagi mengetahui cerita sebenar.

"Tidak lama kemudian, bapa saudara pengadu (si mati) juga datang berjumpa dengan keluarga Kak Long bagi menyelesaikan perkara terbabit dan mengajak keluarga itu menunggu Kak Long pulang di taman permainan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Baharudin berkata, ketika menunggu Kak Long, berlaku pertengkaran antara bapa saudara lelaki itu dengan adik Kak Long sebelum mereka bergelut.

"Semasa pergelutan, tiba-tiba salah seorang yang berada di situ iaitu pakcik kepada Kak Long datang dan memukul belakang badan si mati menggunakan kayu yang diambil daripada bonet kenderaan.

"Si mati mengalami sesak nafas dan meminta pengadu mengambil ubat sakit jantungnya di rumah.

"Apabila pengadu kembali, si mati tiada di lokasi dan diberitahu si mati dibawa oleh suspek ke Hospital Seksyen 7 Shah Alam," katanya.

Beliau berkata, pengadu bergegas ke hospital untuk melihat si mati dan tiba di hospital pada jam 12.10 pagi Selasa.

"Sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan bapa saudaranya yang berumur 27 tahun itu meninggal dunia.

"Siasatan awal polis mendapati kejadian yang berlaku di taman permainan terbabit itu berpunca daripada sebuah telefon bimbit milik adik pengadu yang diambil oleh salah seorang daripada keluarga suspek," katanya.

Baharudin berkata, lima suspek berumur lingkungan 14 tahun hingga 37 tahun ditahan pada Selasa jam 7.50 pagi.

"Siasatan mendapati, empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, curi motosikal dan juga dadah.

"Kesemua tangkapan direman selama hari sehingga 31 Ogos ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X