Rabu, 26 Ogos 2020 | 2:04pm

Inkues Nora Anne: Remaja boleh berjalan normal - Saksi

SEREMBAN: Seorang saksi prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin, memberitahu Mahkamah Koroner di sini remaja itu boleh berjalan seperti manusia normal ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saksi ketiga, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, dalam prosiding di hadapan Koroner Maimoonah Aid, yang memasuki hari ketiga hari ini berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh daripada KLIA pada 3 Ogos tahun lalu, tarikh remaja dan keluarganya tiba di Malaysia, menunjukkan Nora Anne berjalan dari balai ketibaan menuju ke tempat menunggu.

Berikut adalah transkrip soal jawab di Mahkamah Koroner:

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad: Pada hari kelapan, tidak terfikirkah nak luaskan skala pencarian?

Mohd Nor Marzukee: Hari kelapan, pada sebelah petang kami berkumpul semula selepas mendapat maklumat video diambil di KLIA oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah bahawa mangsa orang hilang dilihat dapat berjalan seperti mana manusia normal pada umur tersebut.

Koroner Maimoonah: Video dirakam di KLIA waktu keluarga sampai?

Mohd Nor Marzukee: Ya, video di KLIA, dia berkumpul menunggu seseorang sampai, lepas itu dia tarik beg keluar dari KLIA dan dapat dilihat dengan jelas dia boleh berjalan seperti mana manusia normal pada umur 15 tahun.

Koroner Maimoonah: Setakat hari kelapan, kerja-kerja pencarian berdasarkan maklumat diberi keluarga?

Mohd Nor Marzukee: Betul.

Mohd Nor Marzukee yang menjadi Komandan Operasi dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne berkata ketika video berkenaan ditayangkan, turut sama menyaksikannya ialah Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Datuk Mazlan Mansor serta rombongan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed di bilik taklimat di Balai Polis Pantai pada 1.30 tengah hari, 11 Ogos lalu.

Katanya, sebelum dimaklumkan mengenai perkembangan baharu itu, beliau telah memberikan taklimat berkenaan operasi SAR kepada Mazlan selain melawat lokasi kejadian di The Dusun serta bertemu keluarga Nora Anne.

Muhamad Iskandar: Siapa yang beritahu mengenai rakaman itu?

Mohd Nor Marzukee: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan Deputi Superintendan Chong Mei Chey (pegawai perhubungan pertama kepada keluarga Nora Anne) yang dapatkan video tersebut dari KLIA.

Muhamad Iskandar: Kamu tengok?

Mohd Nor Marzukee: Ya.

Mohd Nor Marzukee berkata berikutan rakaman berkenaan, Mazlan telah mengarahkan operasi SAR diperluaskan dari empat ke enam kilometer kepada 20 kilometer meliputi Gunung Berembun.

Muhamad Iskandar: Boleh terangkan ketika taklimat apa yang berlaku?

Mohd Nor Marzukee: DSP Chong mainkan video itu, semasa video itu dimainkan, kami berulang kali melihat mangsa bergerak ke tempat menunggu...video dimainkan Mei Chey banyak kali menunjukkan orang hilang boleh berjalan seperti manusia atau orang normal yang berumur 15 tahun seperti mana umur mangsa.

Pada prosiding itu, mahkamah turut ditayangkan dua klip video ketibaan Nora Anne yang memakai baju berwarna putih dengan menarik beg berwarna ungu di KLIA sebaik tiba bersama keluarga di sini, pada 3 Ogos 2019.

Terdahulu pada prosiding berkenaan juga, Mohd Nor Marzukee memberitahu mahkamah bahawa keluarganya memaklumkan mangsa hanya mampu berjalan sejauh 20 kaki (enam meter) dan memerlukan sokongan pihak lain.

Ditanya Muhamad Iskandar apa yang akan berlaku sekiranya mangsa berjalan lebih daripada 20 kaki, saksi berkata:

"Sekiranya jalan berseorangan tanpa dibantu orang lain, mangsa akan jatuh kerana mangsa boleh berjalan 20 kaki dalam keadaan ketidakseimbangan badan".

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula Isnin lepas hingga Jumaat ini dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September ini.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan. - BERNAMA

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar ketika hadir dalam prosiding inkues kematian remaja Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar ketika hadir dalam prosiding inkues kematian remaja Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X