Selasa, 25 Ogos 2020 | 4:09pm

Liwat: Penjara 4 tahun tambah jadi 8 tahun

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi mengetepi hukuman penjara empat tahun terhadap seorang tukang kebun atas pertuduhan melakukan hubungan seksual luar tabii terhadap dua beradik lelaki.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas menerima rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Mohd Sabarudin Zulkifli, 36.

Bagaimanapun, Abdul Wahab mengekalkan hukuman tiga sebatan dan pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara dengan alasan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebelum ini, terlalu ringan dan tidak memadai dengan kesalahan, memandangkan mangsa dalam kalangan kanak-kanak di sekolah tertuduh berkhidmat.

Pada 11 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14 (B) dan 14 (D) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh yang berdepan tiga pertuduhan dikenakan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan, namun mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan, serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada November 2019 diikuti hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga.

Abdul Wahab hari ini mengetepikan keputusan dibuat sebelum ini dengan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan, namun mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak bermula tarikh tangkap, diikuti hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun di dalam stor di belakang sekolah di daerah ini pada 23 November 2019.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun di lokasi sama, pada 10 Ogos 2019.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Muhamad Ramlan & Co.

Akhbar sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki berdepan detik hitam selepas mendakwa menjadi mangsa liwat seorang lelaki gila seks di daerah ini.

Perbuatan terkutuk suspek itu terbongkar selepas kedua-dua mangsa membuat laporan polis selepas tidak tahan menjadi pemuas nafsu songsang suspek, sebelum menceritakan kejadian itu kepada bapa saudara mereka.

Mohd Sabarudin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik lelaki. - NSTP/Ghazali Kori
Mohd Sabarudin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik lelaki. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X