Isnin, 24 Ogos 2020 | 7:19pm
Isteri Bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Isteri Bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Notis usul lucut harta Najib, Rosmah dipinda 27 Ogos

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan pihak pendakwaan untuk meminda notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta 16 pihak lain, ditetapkan 27 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada jam 11 pagi.

"Pihak peguam yang mewakili responden tidak membantah terhadap permohonan pihak pendakwaan untuk meminda notis usul dan membetulkan afidavit sokongan yang difailkan pada 18 Ogos lalu.

"Tarikh sama (27 Ogos) juga ditetapkan untuk sebutan bagi notis usul yang difailkan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas, hari ini.

Faten Hadni berkata, pindaan itu dibuat berikutan terdapat kesilapan pada nombor akaun bank, jenis akaun, nama dan cawangan bank serta tarikh sitaan pada notis usul dan afidavit sokongan yang difailkan sebelum ini.

Sementara itu, peguam, Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib, yang hadir pada prosiding hari ini mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, dolar Amerika Syarikat USD100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 kereta jenis Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain. – BERNAMA

Berita Harian X