Ahad, 23 Ogos 2020 | 1:27pm
ANTARA pengunjung yang ditahan di dua pusat hiburan di Jalan Doraisamy, awal pagi tadi. - Foto Eizairi Shamsudin
ANTARA pengunjung yang ditahan di dua pusat hiburan di Jalan Doraisamy, awal pagi tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

228 pengunjung pusat hiburan ingkar PKPP ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 228 pengunjung di dua pusat hiburan yang terletak secara bersebelahan di Jalan Doraisamy, di sini, ditahan awal pagi tadi.

Dalam serbuan secara serentak ke atas kedua-dua premis pada jam 1 pagi itu, kesemua pengunjung termasuk 166 lelaki leka berhibur tanpa menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada pengunjung cuba melarikan diri. Di samping itu bagi mengaburi pihak berkuasa, pintu premis dirantai seolah-olah mereka menutup operasi.

Serbuan disertai empat pegawai dan 24 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, yang menerima maklumat mengenai aktiviti hiburan yang melanggar undang-undang PKPP.

Selain itu kedua-dua premis berkenaan didapati beroperasi secara haram berikutan tidak mempunyai lesen hiburan.

Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang bertindak sebagai pengurus premis serta 77 pelanggan berusia 18 hingga 45 tahun termasuk 50 lelaki.

Polis turut merampas beberapa peralatan seperti LED Video Processor, komputer riba, CPU, pembesar suara dan monitor.

Serbuan kedua membawa kepada penahanan seorang pengurus lelaki berusia 27 tahun serta 151 pelanggan berusia 18 hingga 44 tahun termasuk 116 lelaki.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perkara 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Kesemua pengunjung dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan dikenakan denda RM1,000 setiap seorang.

Sejak tiga hari lalu BH, mendedahkan pusat hiburan sekitar ibu negara beroperasi secara haram dan melanggar PKPP.

Pelbagai taktik digunakan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa seperti mengarahkan pelanggan meletakkan kenderaan jauh dari pusat hiburan, meletakkan penjaga di kawasan sekitar pusat hiburan bagi memantau kehadiran pihak berkuasa serta pelanggan masuk melalui pintu belakang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X