Khamis, 20 Ogos 2020 | 2:18pm
Inspektor Khairil Muzzammir Abdullah Sani.
Inspektor Khairil Muzzammir Abdullah Sani.

Inspektor polis maut dalam kemalangan ketika ke tempat kerja

bhnews.com.my

KANGAR: Pegawai polis berpangkat inspektor maut selepas motosikal ditunggangi berlanggar dengan sebuah motosikal lain di persimpangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di Jalan Padang Katong, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, mangsa, Inspektor Khairil Muzzammir Abdullah Sani, 34 yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa dari arah Jalan Raja Muda ke Bintong sedang menaiki motosikalnya sebelum melanggar motosikal dinaiki dua beranak terbabit yang keluar dari persimpangan SMK Putra.

"Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret sejauh 25 meter sebelum melanggar tiang Telekom.

"Dua beranak terbabit mengalami kecederaan luka di siku dan kaki selain penunggang berusia 18 tahun itu mengadu sakit pinggang

manakala ibunya berusia 43 tahun cedera ringan di tangan dan kaki akibat pelanggaran itu. Mereka dibawa ke HTF bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, hasil ujian air kencing terhadap penunggang lelaki terbabit mendapati dia positif syabu ketika menunggang motosikal berkenaan.

"Dia kini direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian," katanya.

Berita Harian X