Rabu, 19 Ogos 2020 | 7:16pm

Penyamun tetak pekerja stesen minyak

HULU SELANGOR: Dua perompak bersenjatakan parang menetak seorang kakitangan stesen minyak dalam kejadian samun di Sungai Choh, Serendah, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Ridzuan Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.30 pagi.

"Ketika kejadian, mangsa berusia 45 tahun sedang menyapu sampah di stesen minyak berkenaan sebelum dihampiri dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal.

"Difahamkan suspek ada bertanyakan nama mangsa. Namun, selepas memberitahu namanya, penunggang motosikal (suspek) mengarahkan rakannya untuk menetak mangsa.

"Mangsa kemudian melarikan diri ke dalam kedai serbaneka stesen minyak itu untuk meminta bantuan, manakala kedua-dua suspek terus beredar dari lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ridzuan berkata, mangsa memaklumkan dia tidak tahu punca kejadian dan tidak mengenali kedua-dua suspek berkenaan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang tangan kiri.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian atau kerosakan harta-benda dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang berada di lokasi menahan seorang daripada dua suspek berkenaan, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri menggunakan motosikal.

"Semakan mendapati suspek berusia 31 tahun berkenaan mempunyai empat rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.

"Malah, ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadapnya didapati positif dadah jenis methaphetamin.

Katanya, usaha mengesan seorang lagi suspek serta barang kes sedang giat dijalankan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Aimi di talian 03-60641222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X