Jumaat, 14 Ogos 2020 | 11:48am
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang membawa masuk 100 guni daun cincau dari Indonesia. - NSTP/Ihsan MAQIS
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang membawa masuk 100 guni daun cincau dari Indonesia. - NSTP/Ihsan MAQIS

Kontena bawa100 guni daun cincau ditahan

BUTTERWORTH: Sebuah kontena yang membawa 100 guni daun cincau dari Indonesia bernilai RM25,452 ditahan ketika pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini, kelmarin.

Dalam pemeriksaan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang pada jam 11.12 pagi itu didapati, daun cincau seberat 2,000 kilogram (kg) itu dibawa masuk tanpa mempunyai dokumen import yang sah.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata disebabkan menyalahi undang-undang pihaknya mengambil tindakan menyita kesemua daun cincau itu untuk tindakan lanjut.

"Penguatkuasa meminta dokumen seperti permit import untuk membolehkan barangan itu dibawa masuk namun didapati gagal mengemukakan apa yang diminta.

"Oleh itu, kita terpaksa menyita semua barang dagangan berkenaan untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang diperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X