Jumaat, 14 Ogos 2020 | 8:03am
Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tiga lagi penguat kuasa MBSA ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka yang berusia antara 40 hingga 43 tahun itu ditahan selepas hadir di pejabat SPRM di Putrajaya, jam 2 petang semalam.

Susulan penahanan itu, setakat ini lapan orang penguat kuasa bersama seorang peniaga warga Acheh sudah ditahan SPRM berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram, sejak isu berkenaan tular beberapa hari lalu.

Sumber berkata, hasil soal siasat mendedahkan terdapat rangkaian sindiket dalam kalangan anggota penguat kuasa yang mengutip wang rasuah secara bulanan.

"Wang perlindungan ini seolah-olah menjadi suatu budaya dalam kalangan penguat kuasa sehingga menyebabkan peniaga-peniaga termasuk premis judi tidak takut kepada sebarang tindakan penguatkuasaan," kata sumber.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun beliau enggan mengulas lanjut.

BH difahamkan, ketiga-tiga anggota penguat kuasa itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi ini untuk perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Berita Harian X