Rabu, 12 Ogos 2020 | 9:45am

4 pegawai penguat kuasa MBSA direman 7 hari

PUTRAJAYA: Empat pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari berkaitan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Turut direman tujuh hari ialah seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh kerana disyaki membayar wang rasuah kepada penguat kuasa.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan perintah reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, kira-kira jam 9.20 pagi ini.

Mereka yang direman sehingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek berusia antara 41 hingga 45 sebelum itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 8.40 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM dan bergari.

Semalam, SPRM menahan empat pegawai penguat kuasa MBSA kerana disyaki melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Pegawai penguat kuasa berusia itu turut disyaki mengutip dan menerima wang perlindungan secara bulanan RM300 hingga RM3,500 daripada peniaga dan premis tanpa lesen, termasuk kegiatan perjudian haram di sekitar daerah itu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga penguat kuasa dari MBSA Cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam.

Seorang peniaga rokok seludup keturunan Aceh yang tidak mempunyai sebarang dokumen, turut ditahan.

Menurut sumber, nilai sogokan terbabit yang dibayar kepada anggota penguat kuasa yang mengawasi kawasan itu, dipercayai bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.

Antara premis yang membayar sogokan itu termasuk kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai yang menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan dan premis perjudian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang mengesahkan penahanan pengawai MBSA itu, ketika dihubungi tidak menolak kutipan rasuah secara bersindiket berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa.

Ia susulan pendedahan yang dibuat pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42 menerusi video yang tular mengenai kewujudan pusat judi haram online haram serta kedai runcit menjual rokok seludup.

Lima suspek lelaki termasuk seorang peniaga rokok seludup diiringi pegawai SPRM tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman berikutan kes tular perniagaan haram di Sungai Buloh. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Lima suspek lelaki termasuk seorang peniaga rokok seludup diiringi pegawai SPRM tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman berikutan kes tular perniagaan haram di Sungai Buloh. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X