Selasa, 11 Ogos 2020 | 4:08pm
Lokasi seorang lelaki cedera parah diserang dengan parang di rumahnya di Wakaf Mek Zainab semalam - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Lokasi seorang lelaki cedera parah diserang dengan parang di rumahnya di Wakaf Mek Zainab semalam - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Dendam lama punca serangan

KOTA BHARU: Perselisihan faham dan dendam lama menjadi punca seorang lelaki menyerang dan menetak seorang kenalannya hingga cedera parah di Wakaf Mek Zainab petang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafein Mamat, berkata suspek yang berusia 30-an ditahan sejurus selepas kejadian itu semalam.

"Hasil siasatan mendapati mangsa serta suspek saling mengenali dan amukan dibuat berikutan ada perselisihan faham dan dendam lama.

"Senjata yang digunakan suspek iaitu sebilah parang yang dibuang masih belum ditemui," katanya yang menafikan suspek orang kurang siuman.

Dalam kejadian semalam, seorang lelaki yang dikenali sebagai Khairi, 45, cedera parah di seluruh anggota badan akibat ditetak dengan sebilah parang.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang berada di dalam rumah bersama beberapa ahli keluarga diserang suspek yang tiba-tiba meluru ke arahnya sambil melibas parang dan terus menetak bertubi-tubi sehingga ke ruang dapur.

Akibatnya mangsa yang juga seorang penganggur cedera parah terutama di lengan kiri dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Shafein berkata, hasil saringan air kencing suspek adalah negatif tetapi mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Berita Harian X