Isnin, 10 Ogos 2020 | 10:29pm
Datuk Seri Bung Moktar Radin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO BERNAMA
Datuk Seri Bung Moktar Radin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO BERNAMA

Pelaburan RM150 juta tiada dibincang dalam mesyuarat ALP FELCRA - Saksi

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bahawa pelaburan baharu berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat ALP sehinggalah diluluskan oleh bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Dr Habibah Suleiman, 72, berkata keputusan Ahmad Husni meluluskan pelaburan RM150 juta itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat ALP FELCRA pada Jun 2015.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad yang juga seorang pelakon.

Ketika disoal mengenai jumlah pelaburan yang diketahuinya, Habibah berkata, "Setahu saya hanya RM50 juta."

Ditanya siapa mempunyai keputusan muktamad mengenai pelaburan baharu itu, saksi kelima pendakwaan itu berkata, "Kalau diikutkan, segala keputusan perlu dibuat mengikut Ahli Lembaga Pengarah FELCRA."

Ketika disoal balas peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Ezette, sama ada Habibah bertanya mengenai pelaburan RM150 juta terbabit kepada Datuk Mohd Isa Hussain selaku wakil Kementerian Kewangan ketika itu, saksi berkenaan menjawab, "Tidak."

Kumaraendran: Kenapa tidak tanya Datuk Mohd Isa mengenai pelaburan RM150 juta itu?

Habibah: Saya rasa ini adalah keputusan Kementerian Kewangan dan tiada sesiapa pun daripada Ahli Lembaga Pengarah yang bertanya.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan Kumaraendran bahawa Mohd Isa selaku wakil Kementerian Kewangan, mempunyai pengetahuan mengenai pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

"Ini kerana terdapat tandatangan Mohd Isa pada memo Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC)," katanya.

Bung Moktar, 60, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA, didakwa memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai RM2.2 juta, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh, Zizie Ezette.

Bung Moktar didakwa melakukan perbuatan berkenaan sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II ketika itu untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM262,500, daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga didakwa memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500, daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan sama.

Bung Moktar didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari 19 Jun 2015, mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 12 Ogos ini.

– BERNAMA

Berita Harian X