Sabtu, 8 Ogos 2020 | 3:11pm
MAQIS Pulau Pinang merampas
MAQIS Pulau Pinang merampas

Tujuh kontena kayu pine bernilai RM338,503 dirampas

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk tujuh kontena berisi kayu pine bernilai RM338,503.82, ketika pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, kelmarin.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli, berkata pihaknya membuat pemeriksaan rutin pada jam 4.30 petang sebelum mengesan kayu-kayu berkenaan yang dipercayai dibawa masuk tanpa permit import.

"Siasatan mendapati tujuh kontena dengan muatan kayu pine itu diimport tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh MAQIS.

"Oleh itu, kesemua kayu sebanyak 353.732 meter kubik (MTQ) dari Lithuania bernilai RM338,503.82 dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pengimportan kayu tanpa permit import yang sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X